Friday, October 3, 2008

FERI IGAN-MATU





30 Ramadhan/30 September - hari terakhir puasa, kami pergi ke bandar Mukah membeli belah barang-barang keperluan seperti ayam dan daging untuk dimasak kari dan rendang sebagai hidangan bersama lemang dan ketupat pada 1 Syawal.
Perjalanan ke bandar Mukah mengambil masa lebih kurang 2 jam setengah. Keadaan jalanraya amat baik. Kami bernasib baik kerana tidak perlu menunggu lama ketibaan feri di Kuala Igan.
Setiba di bandar Mukah, saya terus ke ‘mesin teller’ bank, aduh.......kesemuanya dihadapi oleh barisan panjang pengguna yang ingin mengeluarkan duit untuk kegunaan menyambut hari raya keesokannya.
Jam 11:30 pagi segala urusan membeli belah telah selesai, kami berangkat pulang ke Pekan Matu. Hari terlalu panas dan ini merupakan cabaran hari terakhir ibadah puasa . Setibanya di persimpangan jalan Mukah dan Dalat, kami singgah di stesyen Petronas....... nasib kami malang kerana stesyen ini kehabisan petrol.... nasib baik kereta wira yang kami naiki masih berisi petrol satu pertiga isipadu tangkinya. Kami terus memecut ke pekan Matu. Sesampai di pekan Matu, kami terus ke stesyen Petronas untuk mengisi tangki kereta dengan petrol sepenuhnya.

VILLA SAFWAN


Rumah ini kami duduki 18 tahun yang lalu. Sebelumnya kami tinggal di rumah datuk yang kini terbiar kosong kerana kedua-dua datuk dan nenek telah kembali ke rahmatullah beberapa tahun yang lalu. Rumah pusaka datuk yang kini diwarisi oleh ayahanda Usu terbiar kerana keluarga yang pernah menghuni rumah tersebut sudah mendirikan rumah sendiri. Ayahanda Usu sendiri pula, yang masih belum berkeluarga, bermustautin di bandar Sibu.
Rumah ini begitu meriah sepanjang 17 tahun  lalu. Ianya dibisingi oleh suara tawa dan tangis anak-anak kami yang jumlahnya bertambah sepanjang tahun. Rumah inilah menjadi kebanggaan ayahanda yang kini cuma mempunyai 2 penghuni setia iaitu bonda dan dinda Umek. Suasana sedih masih menyelubungi rumah ini semenjak 7 bulan lalu. Kami masih merinduimu, Apak.

SUATU HARI DI HARI RAYA

S
Hari Eidul Fitri tahun ini dibanjiri dengan airmata. Inilah kali pertama kami menyambut Eidul Fitri tanpa kehadiran ayahanda. Ayahanda telah kembali menemui Khaliqnya 7 bulan yang lalu. Bonda masih terlalu sedih atas kehilangan kekasihnya itu. Bonda menangis sepanjang tempoh kami satu persatu memohon maaf dan restu darinya. Saya sendiri juga ingin menangis tapi pada kelazimannya orang lelaki pantang menangis. Inilah kelemahan kaum lelaki berbanding kaum wanita kerana mereka tidak dapat meluahkan kesedihannya.

PEKAN IKAN TERUBUK





Jam 10 pagi, bot ekspres yang kami naiki telah menghampiri Pekan Daro yang terkenal dengan ikan terubok. Anak bongsu saya, Abdul Hakeem Akmal, telah beberapa kali melontarkan soalan kepada saya , "Pukul berapa kita sampai?", sepanjang perjalanan satu setengah jam itu. 
Pekan Daro ialah  tempat saya berkhidmat selepas tamat menjalani latihan "housemanship" di Hospital Umum Kuching pada tahun 1990. Saya bertugas di Pusat Kesihatan Besar (PKB) Daro selama setahun. Pada masa itu, saya juga terlibat di dalam proses melobi untuk mendapatkan Hospital Daro. Pada ketika itulah, jalanraya yang menghubungi Daro dan Matu mula dibina. Berbanding dengan dulu, keadaan Pekan Daro sekarang telah banyak berubah bak langit dengan bumi.Perubahan ini telah dicetus oleh pembangunan terutamanya pembinaan jalanraya dari Daro ke Matu dan terus ke Mukah. Kewujudan Jalanraya  ini telah mematikan peranan sungai sebagai satu cara pengangkutan. Pengangkutan sungai telah menjadi satu catatan dalam sejarah. Sesiapa yang pernah mendengar dan melihat bot Hj Lejo dan Rawi, maka mereka adalah golongan generasi pra pembangunan pesat Daerah Matu dan Daro sekarang.

SEMALAM DI SARIKEI





Kami sampai di bandar Sarikei jam 5:30 petang. 16 tahun lalu, saya bertugas di Hospital Bahagian Sarikei dari tahun 1992 hingga 1994.
Kami bergegas ke hotel Wawasan Inn. Setelah menempah 2 bilik, kami menghantar bagasi kami ke bilik hotel,kemudian terus menuju ke Restoran Sugar Bun yang cuma terletak beberapa meter sahaja dari hotel tersebut untuk berbuka puasa pada jam 6:30 petang.
Keesokan paginya seawal jam 7 , 29 Ramadhan, hari Isnin iaitu hari yang ditetapkan oleh Penyimpan Mohor Raja-Raja untuk menengok anak bulan, kami bergegas pula ke pengkalan bot ekspres untuk berangkat ke Pekan Daro. Selalunya pada musim perayaan begini, tempat duduk dalam bot ekspres akan penuh. Jadi kami terpaksa mengambil tempat duduk seawal mungkin, kalau tidak kami akan berdiri di dalam bot ekspress sepanjang perjalanan nanti. Oleh kerana bot ekspres telah dipenuhi penumpang seawal jam 8:30 pagi, maka bot ekspress mula berangkat tanpa mengikut jadual perjalanan biasa iaitu pada jam 9 pagi. Perjalanan ke Pekan Daro memakan masa 1 jam 30 minit.


BALIK KAMPONG EIDUL FITRI 1429 H



Hari Ahad, 28 Ramadhan 1428H/28 September 2008, kami sekeluarga memulakan perjalanan balik kampong untuk menyambut eidul fitri 1429H. Rancangan asal nak memandu kereta sendiri balik kampong di Matu Bahagian Mukah tetapi di saat akhir kami telah menukar rancangan untuk menaiki bas atas 3 alasan:
1. Perjalanan yang jauh selama 12 jam amat memenatkan seperti mana yang pernah kami alami pada musim raya yang lalu
2. Jalan di ladang kelapa sawit antara Mukah dan Selangau masih belum dinaik taraf dan masih penuh dengan lubang
3. Penurunan harga minyak sebanyak 10 sen
Jadi pada jam 11:30 pagi 28 Ramadhan lalu kami menaiki bas BIARAMAS ke bandar Sarikei, Bahagian ke 6 Sarawak. Perjalanan memakan masa selama 6 jam.